Tembok & Tembuk

Tembok bererti dinding atau benteng. Kata ini boleh dibentuk menjadi kata kerja menembok yang bererti mendinding.

Tembuk pula bererti tembus atau berlubang.

Kesalahan dari segi penggunaan kata ini dalam ayat berlaku kerana ketidakpastian tentang ejaannya.

Tidak Tepat
(a) Tembuk itu dibina oleh penduduk kampung secara gotong-royong.
(b) Kelapa itu tembok kerana ditebuk tupai.

Tepat
(a) Tembok itu dibina oleh penduduk kampung secara gotong-royong.
(b) Kelapa itu tembuk kerana ditebuk tupai.

Tempoh & Tempuh

Tempoh bererti jangka waktu atau waktu untuk bertangguh.

Tempuh pula boleh dibentuk menjadi kata kerja menempuh yang bererti menyerbu, melanggar, mengalami, melalui, mengharung, dan sebagainya.

Kesalahan dari segi penggunaan kata ini berlaku kerana ketidakpastian tentang ejaan dan sebutannya.

Tidak Tepat
(a) Mereka dikehendaki menjawab soalan itu dalam tempuh 60 saat.
(b) Sepanjang penjelajahan itu, kami menempoh pelbagai masalah.

Tepat
(a) Mereka dikehendaki menjawab soalan itu dalam tempoh 60 saat.
(b) Sepanjang penjelajahan itu, kami menempuh pelbagai masalah.

Tepok & Tepuk

Tepok bererti lumpuh, biasanya pada tangan atau kaki oleh sebab penyakit.

Tepuk bererti perbuatan menamparkan tapak tangan supaya berbunyi. Kata ini boleh dibentuk menjadi kata kerja bertepuk dan menepuk serta kata nama tepukan.

Kesalahan dari segi penggunaan kata ini dalam ayat berlaku kerana ketidakpastian tentang ejaan dan sebutannya.

Tidak Tepat
(a) Para penonton bertepok tangan apabila persembahan itu tamat.
(b) Pengetua mengucapkan syabas serta menepok bahu Azman.
(c) Puan Salmah akan menghantar anaknya yang tepuk itu ke sekolah khas.

Tepat
(a) Para penonton bertepuk tangan apabila persembahan itu tamat.
(b) Pengetua mengucapkan syabas serta menepuk bahu Azman.
(c) Puan Salmah akan menghantar anaknya yang tepok itu ke sekolah khas.

Rasmi & Resmi

Kata rasmi bererti sesuatu yang telah disahkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Kata ini dapat dibentuk menjadi kata kerja merasmikan dan kata nama perasmian yang berbeza maknanya.

Kata resmi pula bererti sifat asal bagi sesuatu atau seseorang.

Kesalahan dari segi penggunaan kata ini dalam ayat berlaku kerana bunyinya dan ejaannya hampir sama.

Tidak Tepat
(a) Bahasa resmi negara ini ialah bahasa Melayu.
(b) Peresmian Tabung Amal Aidilfitri 2009 diadakan di Istana Kampung Glam.
(c) Ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin menunduk.

Tepat
(a) Bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Melayu.
(b) Perasmian Tabung Amal Aidilfitri 2009 diadakan di Istana Kampung Glam.
(c) Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.

Pedalaman & Pendalaman

Kedua-dua kata ini berasal daripada kata dasar yang sama (dalam) tetapi berbeza maknanya.

Pedalaman bererti kawasan yang terpencil atau daerah yang jauh dari perhubungan dan kemudahan.

Pendalaman pula bererti usaha mendalami atau mendalamkan.

Kesalahan dari segi penggunaan kata ini berlaku kerana orang tidak menguasai imbuhan dengan baik.

Tidak Tepat
(a) Kawasan pendalaman itu akan menerima bekalan air dan elektrik tidak lama lagi.
(b) Pedalaman dasar Sungai Kallang dilakukan untuk mengelakkan berlakunya banjir.

Tepat
(a) Kawasan pedalaman itu akan menerima bekalan air dan elektrik tidak lama lagi.
(b) Pendalaman dasar Sungai Kallang dilakukan untuk mengelakkan berlakunya banjir.

Jemput & Undang

Jemput bererti pergi atau datang mengambil.

Undang pula bererti mengajak atau mempersilakan orang menghadiri majlis, perayaan, pertemuan, dan sebagainya.

Tidak Tepat
(a) Saya akan mengundang Edward di lapangan terbang.
(b) Salim akan menjemput kawan-kawannya ke majlis hari lahirnya.
(c) Surat jemputan ke majlis perkahwinannya baru saja saya terima.

Tepat
(a) Saya akan menjemput Edward di lapangan terbang.
(b) Salim akan mengundang kawan-kawannya ke majlis hari lahirnya.
(c) Surat Undangan ke majlis perkahwinannya baru saja saya terima.

Bukan & Tidak

Kata bukan dan tidak tergolong dalam kelas kata keterangan unutk membentuk ayat nafi.

Kata bukan tidak boleh digunakan untuk frasa adjektif atau frasa kerja yang menjadi predikat ayat.

Kata tidak pula tidak boleh digunakan untuk frasa nama yang menjadi predikat ayat.

Tidak Tepat
(a) Ali bukan mengarang cerpen.
(b) Adik bukan bermain di luar rumah.
(c) Kotak ini bukan berat.

Tepat
(a) Ali tidak mengarang cerpen.
(b) Adik tidak bermain di luar rumah.
(c) Kotak ini tidak berat.